Peringatan kepada umat
Menurut beberapa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitabnya az-Zawajir juzuk 2 halaman 41, dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah s.a.w. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api obor dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Menurut beberapa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitabnya az-Zawajir juzuk 2 halaman 41, dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah s.a.w. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api obor dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Antaranya:
* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibril: Itulah kaum yang berjihad 'Fisabilillah' yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
* Tempat yang berbau harum. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibril: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai tuhan).
* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula tanpa henti. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
* Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.