Apakah hukum memelihara binatang peliharaan  seperti hamster, tikus, arnab dan sebagainya di dalam sangkar seperti  yang dijual di kedai-kedai binatang peliharaan.
jawapan:
Harus  hukumnya memelihara binatang peliharaan seperti burung dan seumpamanya  di dalam sangkar untuk melihat kecantikan atau mendengar kemerduan  suaranya dengan syarat binatang tersebut diberi makan dan minum dan  tidak dizalimi.
Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada riwayat tentang saudara Anas  bin Malik yang digelar Abu Umair (أبو عمير) ada memelihara burung yang  bernama al-Nughair (النُّغَيْرُ – seekor burung kecil). Suatu hari  burung itu mati, lalu Abu Umair (masih budak) sedih dengan kematian  burung kesayangannya itu. Lalu Nabi saw bergurau dengannya sambil  bertanya: “Wahai Abu Umair, apa yang terjadi kepada al-Nughair.?”
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Fath al-Bari berkata:
“Hadith  ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung burung  (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi saw tidak mengingkari  perbuatan Abu Umair.”
Al-Syeikh Abdul Azizi Abdullah bin Baz pernah ditanya dengan soalan ini:
“Apakah hukum orang yang menghimpunkan burung di dalam sangkar agar  anak-anaknya bergembira/berhibur dengan burung-burung tersebut?”
Jawapan beliau: “Tidak  mengapa perkara itu, jika disediakan kepada burung-burung tersebut  keperluannya seperti makanan dan minuman, kerana asal dalam perkara ini  adalah halal, dan tidak ada dalil yang menyatakan sebaliknya setakat  pengetahuan kami.” (Fatawa Ulama’ al-Bilad al-Haram, m.s. 1793)
Para ulama al-Lujnah al-Daimah berkata:
“Menjual  burung yang cantik seperti burung kakaktua atau burung yang  berwarna-warni dan burung kecil (البلابل) kerana suaranya adalah harus,  kerana melihat dan mendengar suaranya perkara yang harus, tidak terdapat  nas syara’ yang mengharamkan menjual dan memilikinya. Bahkan terdapat  dalil yang boleh difahami akan keharusan mengurungnya jika diberi  kepadanya makanan dan minuman dan apa yang sepatutnya. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada hadith Anas bin Malik, katanya:
 قَالَ كَانَ  النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا ،  وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ، قَالَ : أَحْسِبُهُ  فَطِيمًا وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ  النُّغَيْرُ ؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ
Maksudnya: “Nabi saw adalah seorang yang paling baik akhlaknya dan  aku punyai seorang saudara yang dipanggil Abu Umair, aku mengira dia  seorang budak yang sudah berhenti susuan, dan apabila Nabi saw datang,  baginda akan bertanya: Wahai Abu Umair, apa yang telah dilakukan  al-Nughair?” Nughar (sejenis burung kecil) yang dimain oleh Abu Umair…”  al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Syarhnya kepada Sahih al-Bukhari “Fath  al-Bari” ketika menyebut beberapa faedah dari hadith ini berkata: “pada  hadith ini adanya keharusan seorang budak bermain dengan burung, harus  ibu-bapa meninggalkan anak kecil mereka bermain dengan apa yang  diharuskan mereka bermain, harus menafkahkan sejumlah harta untuk  keseronokan anak kecil dari perkara-perkara yang harus dan harus  mengurung burung di dalam sangkar atau seumpamanya….” (Fatwa al-Lujnah al-Daimah, 13/38-40)
wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment